Sunday 14 February 2021

Entry

 Setelah sekian lama aku meninggalkan dunia blogger yg dulunya suam kuku dan kini bukan sekadar suam namun sudah sejuk untuk dinikmati bait tulisan itu lalu aku lupakan blog yang lama dan membuka lembaran baru. 

    Aku ambil keputusan untuk menulis lagi dengan tujuan untuk meluahkan apa yang terbuku di hati dan bermain di benak fikiran aku yang aku tak mampu luahkan pada insani. Aku tahu tempat yang paling afdhal untuk kita mengadu adalah pada Yang Maha Esa namun aku masih ingin menulis sebagai terapi diri yang sedang bergolak.

    Aku merasa perjalanan hidup yang semakin dewasa ini menghambat perasaan untuk mengadu tentang kemelut yang melanda diri dalam melayari hidup sehari-hari. Kalau waktu kecil dahulu, aku tidak terikat antara komitmen dan tanggungjawab maka yang ada di fikiran cuma ingin bermain sahaja dan tiada aku mengerti akan payahnya ingin terus berjuang dalam meneruskan kelangsungan hidup itu. Nah, sekarang beban itu mulai terasa dan merobek jiwa yang sebelum ini pernah bebas namun kini mula rakus mengejar kemahuan dan kehendak yang menjadi lumrah hidup.

    Dari zaman melangkah ke alam sekolah menengah, aku mula merasa payahnya ayah dan mak mencari wang untuk menyekolahkan kami adik beradik. Aku tidak punya hati untuk meminta wang saku lebih dari mereka kerana faham adik beradik lain lebih memerlukan. Alhamdulillah rezeki aku dapat biasiswa jadi beban buat ayah dan mak juga berkurang walaupun tidak mampu bermewah seperti orang lain, namun aku bersyukur kerana sekurang-kurangnya ayah dan mak tidak perlu susah hati memikirkan wang saku untuk aku di asrama sekolah nun jauh dari kampung. Aku yakin Dia tak pernah kejam dalam merencanakan hidup makhluk ciptaanNya kerana dalam kekurangan yang kami terpaksa hadapi, Dia kurniakan aku kelebihan untuk cemerlang dalam akademik. Alhamdulillah, aku sentiasa cemerlang dalam setiap peperiksaan besar baik dari zaman sekolah rendah sehinggalah sekolah menengah. Namun, aku yang alpa tika melangkah ke institusi pengajian tinggi memberi impak pada akademik yang memaksa aku untuk bergantung pada hutang dari tabung pendidikan demi meneruskan cita-cita menggapai segulung ijazah. Aku kecewa dengan diri sendiri kerana terlalu asyik mencari keseronokan dalam berkawan sehingga peluang untuk aku cemerlang di universiti juga disia-siakan. Aku dapat rasakan ayah dan mak agak kecewa kerana aku tidak memperoleh ijazah kelas pertama, namun penyesalan aku tiada guna kerana tempoh yang sudah aku sia-siakan selama ini tidak mampu aku ulang kembali dengan harapan kesilapan lalu dapat aku betulkan. 

    Aku pujuk hati ini untuk tidak putus asa dalam mengubah nasib aku dan keluarga dengan usaha dalam mencari kerja berbekalkan sijil graduasi peringkat ijazah. Waktu itu baru aku berpijak di bumi yang nyata bila aku sedar susahnya untuk kau dapatkan kerja yang selama ini kau senang-senang impikan. Aku mula kerja sebagai juruwang di sebuah pasaraya dek meneruskan kelangsungan hidup sementara mendapatkan kerja yang selayaknya aku dapatkan sebagai seorang graduan. Alhamdulillah, aku diterima bekerja dalam bahagian kawalan kualiti di sebuah syarikat kosmetik setelah beberapa temuduga syarikat lain aku tempuhi. Aku sangkakan dunia kerjaya ini semudah yang aku selalu lihat di layar kaca televisyen namun realitinya banyak faktor yang mengubah tanggapan aku termasuklah majikan, rakan sekerja serta budaya di tempat kerja itu sendiri.

    Aku kembali aktif mencari kerja baru di laman sesawang peluang pekerjaan kerana mula merasakan kekurangan dengan kerja yang aku miliki sekarang selain memikirkan keperluan dalam mengembangkan kerjaya aku. Alhamdulillah, aku sekali lagi berjaya ditawarkan kerja yang lagi baik dari kerja sekarang dari segi skop kerja yang lebih berkait dengan kursus pengajian aku di universiti dan gaji yang lebih tinggi, jadi aku hanya bertahan di syarikat sekarang selama enam bulan tempohnya. Aku mula merasakan nasib hidup aku mula berubah dan aku makin bersemangat untuk mencari wang lebih dalam membantu keluarga. Biasalah, kalau lebih mesti ada kurangnya, kerja baru ini memerlukan aku untuk lebih komited dengan tugas-tugas yang diberikan dan bayaran yang aku terima juga aku boleh katakan setimpal dengan penat lelah aku membanting tulang setiap hari tanpa mengira hari bekerja biasa atau hujung minggu. Aku bekerja lebih separuh hari dalam sehari dan kerja ini memerlukan aku untuk masuk waktu syif jadi waktu rehat aku juga mula berubah dan aku terpaksa membiasakan diri dengan perubahan ini. Namun, lama-kelamaan aku mula penat fizikal dan mental kerana tugas yang diberikan melebihi tenaga kerja yang sedia ada serta sikap orang atasan yang tidak pernah mendengar luahan kami yang dibawah dan selalu merasa betul dalam setiap perkara. Aku gagahkan diri untuk sekali lagi mencari kerja yang lebih baik dari kerja sekarang walaupun aku mengerti susahnya mendapatkan kerja lain jika kerap mengubah kerja dan juga faktor satu dunia sedang mengalami krisis ekonomi kerana dilanda pandemik virus. Alhamdulillah, usaha aku membuahkan hasil bila permohonan aku diterima dan setelah hampir dua tahun di syarikat sekarang, aku berjaya mendapatkan kerja baru dalam sektor yang sama. 

    Sekarang, tumpuan aku lebih terarah pada komitmen yang aku perlu penuhi berbekalkan gaji yang aku dapat setiap bulan .Waalupun masih bujang dan komitmen tidaklah sebanyak orang berkerluarga, namun aku dapat rasakan pendapatan aku sangat terhad untuk aku penuhi semua komitmen tersebut, jadi peluang untuk aku menabung juga tipis. Aku penat memerah otak dan merancang bajet setiap bulan sehinggakan aku mula perlahan-lahan lupa angan-angan untuk mengubah nasib hidup sebelum ini. Benarlah kata orang, yang miskin akan terus miskin dan yang kaya terus kaya kerana aku tidak nampak perubahan pada nasib diri aku dan aku selalu tertanya sendiri tentang kemewahan yang dimiliki orang lain berbanding aku dan keluarga sehingga aku terkadang berdosa kerana mempersoalkan takdir hidup kami. Aku lupa untuk bersyukur dengan peluang kerja yang aku punya sekarang sehingga terlepas pandang yang rezeki Dia kurniakan sebenarnya berbeza untuk setiap makhlukNya. Aku mula belajar bersangka baik pada Dia dan memandang orang yang kurang bernasib baik dari aku untuk aku terus mensyukuri nikmatNya. Soal ubah nasib aku dan keluarga, aku akan usahakan berbekalkan kudrat yang dikurnia, selebihnya aku serahkan pada Dia melalui doa-doa yang aku titipkan saban hari. 

Alhamdulillah untuk segalanya Ya Allah.

Entry

 Setelah sekian lama aku meninggalkan dunia blogger yg dulunya suam kuku dan kini bukan sekadar suam namun sudah sejuk untuk dinikmati bait ...